FEBRUARI 2026

PREMIER SARAWAK HADIRI MESYUARAT MENTERI BESAR DAN KETUA MENTERI KE-148 DI PARLIMEN MALAYSIA


KUCHING, 11 Februari 2026 – Kira-kira 5,700 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bakal menerima manfaat dari Program Komputer Riba Percuma Fasa Dua oleh Kerajaan Sarawak melibatkan peruntukan RM17 juta. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg melakukan simbolik penyerahan komputer riba kepada lima orang pelajar IPT di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Rabu. 

Sementara itu, Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pelaksanaan kali ini merupakan kesinambungan kepada fasa pertama yang telah dilaksanakan tahun lepas, sekali gus menjadikan inisiatif komputer riba percuma antara bantuan pendidikan paling meluas pernah disalurkan oleh Yayasan Sarawak. 

“Bagi tahun 2025 sahaja, Yayasan Sarawak telah mengagihkan bantuan komputer riba kepada lebih 5,000 pelajar dalam fasa terdahulu.

“Itu adalah salah satu dari inisiatif Yayasan Sarawak iaitu pengagihan komputer riba percuma dan sudah tentu kita sedia maklum ada beberapa lagi inisiatif-inisiatif lain kepada pelajar-pelajar di bawah Yayasan Sarawak. 

“Antara inisiatif lain seperti baucar buku percuma, bantuan khas kewangan, program perkhidmatan pengangkutan percuma pelajar sekolah dan bantuan pakaian seragam sekolah,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi bin Mohidin dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leornard Doo.